Dipetik dari Laporan BERNAMA
Tapak perkhemahan 1Malaysia -Petanda Malang bagi 1Malaysia Najib dan
Kerajaan Haram BN Perak yang sedang bersidang
Tindakan nekad seorang guru dan tiga pengawal keselamatan terjun mengharung air deras dalam kegelapan malam menyelamatkan 19 murid daripada hanyut dalam kejadian jambatan runtuh di kawasan perkhemahan Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta di Ipoh malam tadi.
Hanya cahaya samar lampu dari kawasan perkhemahan yang terletak di seberang tebing sungai berkenaan membantu usaha menyelamat itu.
Suasana ketika itu kelam-kabut dengan jeritan minta tolong dan tangisan murid yang berpaut pada tali jambatan, kata pengawal keselamatan SK Kuala Dipang, Zulkifli Mohamad, 38, kepada pemberita hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, 22 murid terjatuh ke dalam Sungai Kampar semasa sedang menaiki jambatan gantung yang baru dibina dua minggu lepas itu untuk jamuan malam di SK Kuala Dipang
Kumpulan itu adalah antara 298 murid dari 64 sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai perkhemahan 1Malaysia di pusat berkenaan yang terletak di tebing berdepan sekolah berkenaan.
Menceritakan semula detik-detik cemas malam tadi, Zulkifli berkata kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan tanpa berfikir panjang beliau terus terjun ke sungai berkenaan untuk membantu mangsa.
Dua lagi rakannya Rosli Mohamad, 44, dan Ismail Ahmad 62, turut terjun ke sungai bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit.
Zulkifli berkata rakannya Rosli berjaya membawa naik enam murid manakala beliau dan Ismail sempat menarik naik antara empat dan enam murid.
"Air sungai sangat deras dan saya bersyukur kerana dapat membantu dengan cepat," katanya.
Sementara itu seorang guru Mohd Safri Abdul Rafar berkata beliau berada tidak jauh dari jambatan dan terkejut apabila terdengar bunyi benda jatuh diikuti oleh jerit pekik.
Menyedari jambatan itu runtuh ketika murid-murid berada di atasnya, beliau nekad terjun ke sungai dan mengharungi arus deras bagi menyelamatkan mereka.
Seorang pelajar yang terselamat dalam kejadian itu Mohd Haziq Teng Mohd Salleh, 12, dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bemban, Batu Gajah, berkata semasa kejadian, beliau berada di tengah-tengah jambatan.
"Tiba-tiba sahaja saya tercampak ke dalam sungai, air sangat deras... saya bersyukur kerana sempat berpaut pada tali yang terjuntai dari titi dan dapat menyelamatkan diri dengan menaiki tepi tebing," katanya.
Perkhemahan yang bermula semalam dijadual hingga Khamis dan pendaftaran peserta dibuat sejak 3 petang semalam.
Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dibina dua minggu lepas bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang runtuh sebelum ini dan ia menghubungkan tapak perkhemahan untuk ke SK Kuala Dipang.
Seramai 23 guru terlibat dengan perkhemahan itu dan kem yang diadakan di SK Kuala Dipang itu adalah yang kedua dianjurkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan selepas perkhemahan di SK Pos Raya minggu lepas.
Comments :
Post a Comment